MEI 2025

Kemelut Petronas, Kerajaan Sarawak Diselesai Secara Menang-Menang - Premier


LONDON, Sabtu:  Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada hari ini menekankan bahawa kemelut antara Petronas dan Petros mengenai hak terhadap sumber gas asli di Sarawak hendaklah diselesaikan atas dasar menang-menang untuk kedua-dua belah pihak. 

Datuk Patinggi Abang  Haji Johari turut menekankan penyelesaian tersebut perlu berlandaskan keikhlasan dengan prinsip bahawa hasil minyak dan gas negara harus dikongsi secara adil.

Beliau berkata demikian ketika sesi Sarawak Agenda Townhall Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) Edisi UK 2025 di sini hari ini. 

Premier mendedahkan beliau telah menerima panggilan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini berhubung isu berkaitan Petronas serta hak Sarawak dalam sektor minyak dan gas. 

“Perdana Menteri telah hubungi saya pagi ini (Sabtu) dan kami mempunyai komitmen untuk menyelesaikan isu ini.

“Ini merupakan satu penyelesaian menang-menang antara pihak kita dan juga Petronas,” katanya.

Beliau menambah Sarawak telah memainkan peranannya dengan bertanggungjawab walaupun tanpa pendapatan tambahan sejak Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dilaksanakan.